Alia

Alia nampak dengan jelas, gadis itu keluar dari perkarangan rumah Ikwan.
Alia juga nampak Ikwan menghantar gadis cantik itu dengan lambaian dan
senyuman yang ranum. Kata Ikwan, gadis itu adalah kawan kecilnya. Tapi sejak
gadis itu datang, Ikwan kian menjauh darinya, Ikwan kerap keluar bersama
gadis itu. Hati Alia sakit!
Ikwan jarang menelefonnya kini. Malah, kalau Alia call di rumah, selalu saja
keluar. Handsetnya juga selalu suruh tinggalkan pesanan suara saja, bila
ditanya kenapa, kata Ikwan habis bateri. Takkan sepanjang minggu habis
bateri? Kalau dapat call pun Ikwan cakap sikit saja dengannya. Seolah tidak
ada lagi topik yang menarik hendak di kongsikannya bersama Alia. Alia rasa
bahang perubahan sikap Ikwan. Gara-gara kehadiran gadis cantik yang pulang
dari London itu. Kononnya kawan lama, entah-entah kekasih lama!
“Gadis tu kan baru je datang dari luar negara, lagi pun mereka memang
sahabat rapat dari kecil, memanglah banyak yang nak dibualkan setelah
sekian lama tidak berjumpa.” Alia mahu percaya kata-kata Nina yang
memujuknya itu. Tapi cemburu dihati Alia masih juga meronta-ronta tak mahu
kalah. Tak boleh jadik nih!
“Tapi Nina.. Wan dah berubah! Dia macam dah lupakan Lia.. macam dia dah
malas nak jumpa atau sekurang-kurangnya berbual dengan Lia.. sejak
kedatangan kawan baiknya yang cantik tu!” Geram Alia bila teringatkan gadis
itu. Sakit hati Alia bila terbayang wajah cantik itu. Memang dia benar-benar
cantik! Hidungnya lebih mancung dari Alia, kulitnya putih dan halus. Bukan
seperti Alia yang berkulit sowo matang. Matanya besar dihiasi bulu mata yang
panjang dan lentik serta keningnya hitam lebat. Pipinya gebu dan licin macam
kulit tomato. Bibirnya mungil dan merah jambu tanpa perlu disapu gincu.
Rambutnya pula panjang lurus separas dada. Hati lelaki mana yang tidak
tertawan. Alia tahu beza antara dia dan gadis itu bagaikan langit dengan
bumi.
Alia pandang ke dalam cermin, pantulan dari cermin memaparkan wajahnya
yang masam mencuka. Dia lihat keningnya yang nipis, matanya yang kecil dan
bulu mata yang pendek. Kulitnya tidak sehalus dan segebu gadis itu. Bibirnya
pucat saja. Kalau tidak memakai gincu langsung tidak menarik. Alia mula
bencikan rupanya! Dia ingin kelihatan cantik, lebih cantik dari gadis itu!
Alia bandingkan pula dirinya dengan gadis itu, dia hanya mendapat Diploma
dalam bidang Pengurusan dan sekarang jadi kerani biasa di sebuah syarikat
swasta. Gadis itu pula baru habis belajar di luar negara dengan gelaran
Sarjana Muda Undang-undang. Kalau dapat kerja nanti, pasti gajinya
menjangkau angka dua ribu. Ah! Gadis itu umpama permata yang berharga,
manakala Alia bagai pasir yang bertaburan dijalanan. Alia mengeluh lagi.
“Pasti Ikwan tidak berminat untuk bersamaku lagi.. Ikwan sudah menjumpai
gadis yang sesuai dengan dirinya..” kata Alia sendirian. Alia sedar, Ikwan
tidak setaraf dengannya, lelaki itu berkerja sebagai Timbalan Eksekutif di
syarikat ibunya. Mereka adalah golongan berada, bukan macam Alia yang
sederhana. Namun hati Alia masih berharap, dia berharap Ikwan akan kembali
mesra seperti dulu. Alia ingat perkenalan mereka yang singkat tapi bermakna.
“Encik Haris ada?” itulah kata-kata Ikwan ketika masuk ke pejabatnya untuk
menemui bos Alia, yang merupakan pelanggannya.
“ Emn.. dia keluar sekejap! Ada apa-apa yang saya boleh bantu?” ujar Alia
sambil mengkagumi rupa paras lelaki yang berdiri didepannya. Ikwan kacak
sekali. Senyumannya lembut dan suaranya lunak.
“Emn.. tak apalah! Biar saya tunggu dia..”
“Oh.. kalau begitu.. silakan..”
Ikwan duduk di meja menunggu yang menghadap meja Alia, Alia sesekali
melirik pada Ikwan yang membelek-belek majalah yang tersedia di atas meja
itu. Bila sedar dirinya diperhatikan, Ikwan melemparkan senyuman
menawannya. Alia jadi tersipu malu. Tidak lama kemudian bosnya Encik Haris
kembali. Ikwan segera masuk ke bilik pejabat Encik Haris.
Waktu tengahari, Alia turun makan di restoran berhampiran, ketika Alia
menunggu pesanannya, tiba-tiba satu suara menyapa.
“Boleh saya join kamu?”
Alia agak terkejut bila melihat Ikwan berdiri di tepi mejanya.
“Semua meja telah penuh..” ujarnya lagi dengan senyumannya yang mencairkan
hati Alia. Alia agak tergagap tetapi mempersilakan Ikwan duduk semeja
dengannya. Mereka mula berbual dan memperkenalkan diri masing-masing.
Mula-mula perbualan mereka agak lembab, tapi Ikwan pandai berjenaka. Alia
tak henti-henti ketawa dibuatnya. Ikwan menyerahkan kad namanya pada
Alia, dia juga membayar semua harga makanan.
“Terima kasih, belanja saya makan..” ujar Alia sebelum mereka berpisah.
“Call saya kalau ada masa..” laung Ikwan sebelum pergi. Alia menggangguk.
Hatinya berbunga riang.
Sejak hari itu, mereka kerap berhubung. Ikwan selalu bercerita tentang apa
saja dengannya. Ikwan akan meluahkan apa saja yang ingin dikongsikannya
pada Alia. Lama kelamaan hubungan Alia dengan Ikwan menjadi erat. Putikputik
cinta bersemi. Ikwan melamar cintanya pada hari lahirnya yang ke dua
puluh lima tahun. Dengan sejambak bunga, kek harijadi dan seutas rantai. Alia
tidak akan lupa betapa bahagianya hati wanitanya hari itu. Bagaikan seorang
puteri yang mencapai impiannya.
Tapi itu dulu, sebelum kehadiran gadis cantik yang baru pulang dari luar
negara. Kini Ikwan semakin sibuk. Dia tidak ada masa untuk menghubungi Alia.
Dia sudah ada teman lain untuk berkongsi cerita mahu pun masalah. Kalau
dulu, Alialah tempat mengadu bila hatinya resah atau terlalu penat dengan
kerja, kini ada gadis lain yang mengambil alih peranan itu. Alia semakin
terkilan.
***************
Alia tidak menghubungi Ikwan lagi selepas dia ternampak gadis itu keluar dari
rumah Ikwan. Alia tidak mahu menjadi muka tembok yang tidak tahu malu.
Biarlah Ikwan menghubunginya jika lelaki itu masih ingat padanya. Alia ingin
menganggap hubungannya dengan Ikwan sudah berakhir.
Dia mengambil keputusan itu setelah memikirkannya masak-masak. Walau pun
tiada kata putus antara mereka, Alia lebih rela daripada mendengar kata
perpisahan dari mulut Ikwan. Namun setelah dua minggu, Ikwan tidak juga
menghubunginya. Hati Alia semakin remuk redam.
“Hai Lia.. mendung je muka kamu kebelakangan ni..” Sapa Harun, rakan
sekerjanya.
“Kau jangan sibuklah!!”
“Eh! Marah?” Sakat lelaki itu lagi. Alia tarik muka masam. Dia memang selalu
bermuram durja gara-gara hubungannya dengan Ikwan yang dingin itu.
“Aku bukan apa Lia.. tapi sebagai kawan, aku kesian juga tengok kau ni.. badan
pun dah susut.. kau makan hati ya?”
Harun bersuara lagi. Alia tantang muka Harun dengan tajam. Dia tidak suka
orang lain masuk campur dalam hal peribadinya.
“Aku dah lama tahu hubungan kau dengan Encik Ikwan tu.. aku rasa baik kau
lupakan saja dia tu.. aku rasa kau pun tahu, Helina sudah balik dari luar
negara. Si cantik tu akan bertunang dengan encik Ikwan tak lama lagi.” Lancar
benar Harun menceritakan hal itu. Darah Alia rasanya tersirap hingga ke
umbun-umbun. Dia tidak menyangka hubungan Ikwan dengan gadis cantik itu
sudah sampai ke tahap bertunang.
“Dari mana kau dapat tahu semua ni Harun?” tanya Alia was-was. Betul ke
budak Harun ni? Banyak sangat dia tahu tentang Ikwan.
“Kau hairan? Aku sepupu Helina, memang la aku tahu banyak tentang dia dan
Ikwan..” Sahut Harun dengan yakin. Alia tertunduk, matanya mulai terasa
panas. Ada manik-manik jernih yang bertakung dibibir matanya. Sampai hati
Ikwan!
Hendak bertunang pun Ikwan tidak memberitahunya.
“Mereka dijodohkan oleh keluargakah?” tanya Alia lagi. Dia berharap Ikwan
berbuat demikian kerana terpaksa. Alia enggan menerima hakikat kalau Ikwan
benar-benar mengkhianati cintanya!
“Sudahlah Alia.. jangan berharap lagi! Helina tu memang kekasih dia.. sebelum
kau bersama Ikwan lagi.”
Hati Alia hancur berkecai mendengar kebenaran itu. Jadi selama ini Ikwan
menipunya. Selama ini dialah pihak ketiga. Dia hanya sebagai boneka Ikwan
kala Helina tidak ada bersama. Cuma sandaran sementara saja! Patutlah
Ikwan tidak memperkenalkannya pada Helina bila Helina baru pulang. Ikwan
kata kawan sepermainannya dari kecil lagi baru pulang dari luar negara. Tapi
sedikit pun dia tidak bersuara untuk memperkenalkan Alia pada gadis itu, jadi
memang benarlah Helina adalah kekasih lama seperti jangkaan Alia!
Sakit hati Alia terasa semakin dalam. Jantungnya seakan ditikam-tikam
dengan pisau yang amat tajam. Dia benci Ikwan. Dia benci Helina! Mengapa
mereka melukakan hatinya. Mengapa Ikwan mencambahkan cinta dihatinya,
tapi kini dengan kejam membunuh cinta itu tanpa belas kasihan!
“Kenapa dia tidak beritahu aku?” kata Alia seolah-olah bertanya pada Ikwan.
“Entahlah Lia.. dia mungkin takut kau akan berjumpa Helina dan mengaku
sebagai kekasihnya.. pasti hubungannya dengan Helina akan terjejas jika itu
berlaku..”
Ada benarnya juga kata-kata Harun itu, patutlah Ikwan enggan dihubungi. Dia
takut rahsia hubungannya dengan Alia terbongkar.
“Harun.. aku nak cuti setengah hari, hari ini.. tolong bagitau Encik Haris,
katakan aku tak sihat..” Alia mengemas mejanya. Dia ingin pulang ke rumah
dan menangis sepuas-puasnya. Dia ingin meraung dan menjerit untuk
melepaskan kesakitan yang sarat berbuku didadanya. Harun mengangguk. Dia
kelihatan amat bersimpati dengan Alia.
Alia segera mengambil telefon bimbitnya dan mendail nombor Zarul, adik
sepupunya. “Kakak ni.. tolong ambil kakak di pejabat!” kata Alia sebaik saja
talian disambungkan.
“Ai! Awalnya.. ada apa hal kak?”
“Kakak tak sihat hari ni.. kau di mana sekarang?”
“Saya masih di bandar ni.. ada temuduga pukul 11.00 a.m., habis temuduga
nanti saya ambil kakak macam mana?”
Alia mengeluh. Dia ingin segera pulang ke rumah. Tapi Zarul pula sibuk. Adik
sepupunya itu baru tamat belajar dan sedang mencari kerja. Dia dihantar dari
kampung oleh ibubapanya untuk tinggal bersama Alia sementara mendapatkan
pekerjaan. Zarul akan menghantar dan mengambilnya dari kerja setiap hari.
Alia baru saja membeli sebuah kereta kancil tapi dia tidak mempunyai lesen
memandu. Nasib baiklah Zarul sudah mendapatkan lesen memandu, secara
tidak langsung Zarul menjadi pemandu sementara kepada Alia yang baru
memohon lesen memandu dan masih dalam proses pembelajaran.
“Tak apalah! Kakak naik bas saja..”
“Eh! jangan lah..! Zarul datang sekarang..”
“Kan kau nak temuduga.. nanti terlewat pula.. sekarang dah pukul 10.30 a.m..”
“Alah.. masih sempat!” Talian terus diputuskan. Alia mengeluh. Zarul berkeras
mahu menghantarnya pulang meski pun dia ada temuduga. Alia terpaksa
menunggu. Beberapa minit kemudian terdengar bunyi hon di luar. Alia segera
keluar dan masuk ke perut kereta.
“Tengok.. sudah pukul 10.40am.. mana sempat!” ujar Alia sambil menunjukkan
jam tangannya pada Zarul.
“Sempat.. bukannya jauh!” balas Zarul sambil ketawa kecil.
“Ha.. nak bawa laju lah tu! Zarul.. kakak rasa baik Zarul pergi tempat
temuduga tu, kakak tunggu di kereta.” Cadang Alia.
“Emn.. idea yang baik..” Zarul setuju. Kereta segera meluncur ke tempat yang
dituju.
“Eh! Kau temuduga di sini?”
Zarul angguk. Alia kenal benar dengan bangunan itu. Bangunan itu adalah milik
ibu Ikwan. Jadi Zarul pergi temuduga di syarikat milik keluarga Ikwan. Alia
benar-benar tidak senang hati!
“Zarul kejap saja.. kakak tunggu ya!” Zarul bergeges masuk ke dalam
bangunan itu.
Alia mendengar radio sementara menunggu Zarul masuk ke dalam. Tiba-tiba
sebuah kereta masuk parking benar-benar di sebelah keretanya. Alia macam
kenal kereta itu, dia menoleh memandang pemandunya. Alia tersentak, Ikwan!
Lantas Alia berpura-pura tidak melihat Ikwan. Alia menundukkan kepalanya
sambil membaca surat khabar yang dibeli Zarul. Bila Alia sudah pasti Ikwan
telah pergi barulah Alia tercangak-cangak mencari kelibat lelaki itu.
Perasaannya bercampur baur. Dia pun tidak tahu mengapa dia mengelakkan
diri dari bersemuka dengan Ikwan. Biarlah hubungan mereka berlalu bagai
angin yang datang menyapanya untuk seketika. Rasanya tak perlu lagi Alia
hendak berperang besar dengan Ikwan atau Helina. Alia sedar siapa dirinya.
Kalau nak rajuk biar pada yang sayang, kalau orang dah tak sudi buat apa Alia
nak terhegih-hegih menagih perhatian Ikwan. Namun jauh di sudut hati Alia,
dia merasa cukup pedih dan sengsara. Cinta yang mekar di hatinya itu
bukannya mudah hendak dibuang dalam sekelip mata!
Ketika dia sibuk merenungi nasib diri, tiba-tiba Zarul muncul mengetuk
cermin kereta. Di belakangnya kelihatan Ikwan yang memandangnya dengan
wajah penuh misteri. Alia segera membuka tingkap.
“Kakak.. saya telah diterima bekerja di sini.. emn! Ni lah bos saya.. katanya
nak jumpa kakak..” kata Zarul sambil tersenyum simpul. Hati Alia menjadi
tidak keruan. Dia memandang muka Zarul dan Ikwan silih berganti.
“ Emn.. boleh kita cakap sendirian..?” Kata Ikwan dengan tenang.
Alia terasa lidahnya kelu. Dia yakin, Ikwan mahu berterus terang dengannya
kini. Terasa air mata mula bertakung di bibir matanya. Alia mengangguk
perlahan.
“Lia naik kereta Wan?” Ikwan membuka pintu keretanya. Alia angguk lagi. Dia
segera keluar dari kereta kancilnya dan masuk ke dalam kereta Honda Ikwan.
“Zarul balik dulu lah!” kata Alia pada Zarul. Zarul agak kehairanan kerana
bakal bosnya mengajak kakak sepupunya masuk ke dalam keretanya pula. Tapi
Zarul tidak membantah. Dia masuk ke dalam kereta dan beredar.
“Kita pergi tempat biasa?” kata Ikwan lembut. Alia tidak menyahut. Dia hanya
terbayang puncak bukit di mana mereka selalu menghabiskan masa bersantai
di situ. Dengan membawa sedikit bekalan, mereka seolah-olah berkelah di
puncak bukit itu. Tapi itu dulu, sebelum kehadiran Helina. Alia yakin, Ikwan
hendak bercakap tentang hubungan mereka pada hari ini. Mungkin hari ini
adalah hari terakhir mereka mengunjungi puncak bukit yang indah itu.
“Kenapa diam?”
Alia menoleh memandang Ikwan. Ikwan melirik padanya sambil terus
memandu. “ Emn.. tak ada apa..” Sahut Alia malas.
Sebenarnya dia mahu meluahkan segala yang berbuku di hatinya. Dia mahu
tanya tentang Helina dan mengapa Ikwan merahsiakan hubungannya dengan
Helina selama ini. Alia ingin sekali mengamuk dan meradang atas sikap Ikwan
yang mempermainkan hati dan perasaannya. Namun, Alia hanya membisu, dia
tidak tahu hendak berkata apa kepada Ikwan. Cintanya pada Ikwan begitu
dalam dan Alia pasrah jika terpaksa mendengar khabar buruk itu hari ini.
Sepuluh minit kemudian mereka sampai di puncak bukit. Suasana tenang dan
dingin. Tapi hati Alia semakin ketakutan. Takut menghadapi kata-kata
perpisahan dari Ikwan. Ikwan kejam kerana mempermainkan harga dirinya.
Alia tidak mahu kelihatan bodoh dengan mengamuk atau melenting pada
Ikwan yang nyata menjadikannya sebagai boneka mainan. Itulah tekad Alia.
Alia ingin terus bersabar!
“ Kenapa diam saja dari tadi Lia..?” tanya Ikwan lagi. Dia memandang mata
Alia seolah-olah mencari-cari sesuatu di situ. Wajah Alia muram saja. Tidak
ada apa-apa di matanya kecuali kedukaan.
“Cakaplah apa yang Wan nak cakap..” ujar Alia membuang pandangannya dari
wajah Ikwan. Ikwan menarik nafas berat. Sukar untuk memulakan kata-kata.
“ Wan tahu, Alia kecil hati kerana Wan seolah-olah menjauhkan diri dari Lia..
maafkan Wan..” Ikwan mula membuka kata-kata. Alia mengigit bibir menahan
sendu di hatinya.
“Lia pun tidak mahu menghubungi Wan lagi.. Lia juga seolah-olah tidak mahu
ambil tahu tentang Wan lagi..” Sambung Ikwan.
Alia terus membisu, dia enggan berkata apa-apa. Biarlah Ikwan menyampaikan
kata-kata terakhirnya sebelum mereka berpisah. Alia bersiap untuk
mendengar kebenaran yang pasti menyakitkan itu.
“Biarlah Wan berterus terang dengan Lia…”
Alia segera membelakangkan Ikwan. Dia tahu apa yang bakal didengarnya.
Airmatanya sudah luruh. Ikwan tidak menyedari airmata itu kerana Alia
segera menyembunyikan wajahnya dengan menghadap hutan yang tebal.
“ Wan..” suara Alia serak. “ Boleh tak Wan tak payah cakap apa yang Wan nak
cakap..” Alia masih membelakangi Ikwan. Suaranya bergetar, Ikwan mula
perasan ada pergolakan dalam perasaan Alia. Dia ingin sekali memujuk.
“ Lia.. Wan tahu Lia merajuk! Wan tahu Wan salah.. Kita berdamai o.k?”
Alia segera berpaling ke arah Ikwan. Ikwan terharu melihat airmata Alia yang
bercucuran itu. “Sampai hati Wan.. Lia tahu Lia tak sepadan dengan Wan, tapi
kenapa Wan tak terus terang dengan Lia? Sepatutnya Wan tak perlu minta
maaf dengan Lia.. biarkan saja Lia! Kawin sajalah dengan kekasih hati Wan tu..
sampai hati Wan permainkan perasaan Lia..” Tersembur keluar semua yang
berbuku dihatinya. Wajah Ikwan nampak terkejut.
“Kenapa? Wan tak sangka Lia sudah tahu hubungan Wan dengan Helina? Wan
fikir Lia tak tahu Wan nak bertunang dengannya? Cukuplah Wan.. jangan nak
siksa hati Lia lagi..” Ucap Alia separuh menjerit. Ikwan tercengang
memandangnya.
“ Mana Lia dapat cerita ni?”
“ Itu tak penting.. yang penting mengapa Wan permainkan perasaan Lia..
kenapa Wan mahu bersama Lia sedangkan Wan dah ada Helina..”
“ Lia.. Lia.. Lia! Wan tak faham.. mana Lia dapat cerita Wan nak tunang dengan
Helina, sumpah Lia! Dia cuma kawan baik Wan dari kecil lagi. Dia bukan
kekasih Wan!”
Alia mula diam, tangisnya reda mendengar kata Ikwan. Mereka berpandangan.
“Betul..?” tanya Alia sambil mengesat airmatanya. Ikwan angguk.
“Tapi kenapa Wan tak kenalkan Lia dengan dia? Kenapa Wan jauhkan diri
sejak dia datang?” Wan tarik nafas berat. Dia melangkah ke keretanya dan
mengambil sesuatu.
“Nah!”
Beberapa keping gambar dihulurkan kepada Alia. Alia membelek semua
gambar itu. Semuanya gambar dia bersama Zarul, ketika dalam kereta, di
jalan raya dan di perkarangan rumah.
“Kenapa ada gambar Lia dan Zarul..?” tanya Alia tidak faham.
“Kerana gambar inilah Wan menjauhkan diri dari Lia.. beberapa minggu lepas,
satu surat dikirimkan pada Wan. Dalam surat itu ada gambar Lia dan Zarul.
Kononnya Zarul adalah tunang Lia.. Lia telah ditunangkan oleh keluarga Lia..
Wan pun frust la bila dapat tahu..” cerita Ikwan dengan tenang.
“Tapi kenapa Wan tak tanya pada Lia?” Kata Alia dengan wajah yang lebih
cerah. Sisa-sisa airmata sudah hilang.
“Itulah silap Wan! Wan mahu Lia sendiri yang berterus terang dengan Wan..
tapi Lia sikit pun tidak cakap apa-apa, Zarul tinggal serumah dengan Lia .. tapi
sedikit pun Lia tidak memberitahu Wan.. tentulah Wan salah faham. Wan
geram, marah dan benci pada Lia sebab tu Wan malas nak layan Lia.. malas nak
sambut call Lia.. Manalah Wan tahu Zarul tu adik sepupu Lia.. mujurlah dia
datang temuduga tadi, Wan masih cam muka Zarul dalam gambar tu. Wan
memang nampak Lia dalam kereta tunggu Zarul tadi, tapi Wan tak tegur Lia
kerana Wan masih salah faham dengan Lia, tapi lepas temuduga Zarul tadi,
Wan tanya Zarul siapa gadis yang tunggu dalam kereta? Barulah Wan tahu
Zarul adalah adik sepupu Lia.. barulah Wan tahu selama ni Wan salah faham
dengan Lia.. Wan nak minta maaf, Lia?”
Alia termangu mendengar cerita Ikwan. Rupanya ada kisah yang diluar
jangkaannya. Siapa pula yang mengambil gambarnya dengan Zarul dan
mengatakannya bertunang? Alia keliru.
“Wan tak tunang dengan Helina?”
“Sumpah tidak! Siapa yang cakap ni..”
“Harun.. sepupu Helina! Katanya Wan memang kekasih Helina sebelum Wan
bersama Lia lagi.. katanya tak lama lagi Wan akan bertunang dengan Helina..
Lagi pun Wan semakin menjauhkan diri dari Lia sejak dia datang..” jelas Alia.
Dia mula ragu dengan kata-kata Harun.
“Mestilah Wan jauhkan diri dari Lia masa tu, sebab Wan marah pasal gambar
Lia dengan Zarul.. Wan malas nak kenalkan Lia dengan Helina kerana masa tu
Wan benar-benar salah sangka pada Lia.. maaf ye sayang..” Ikwan menarik
tangan Alia dan memandang tepat ke matanya. Alia angguk sambil menarik
nafas lega. Dia menyangka Ikwan hendak memutuskan hubungan tapi kini
sebaliknya.
“Memang benar Harun tu sepupu Helina, tapi hairan mengapa dia nak
menghancurkan hubungan kita pula?” Kata Ikwan penuh tanda tanya. Alia
angkat bahu. Kini hatinya lega. Gadis cantik itu ternyata tidak ada apa-apa
hubungan cinta dengan Ikwan. Rupanya semua masalah itu hanyalah salah
faham dan fitnah orang lain. Cemburunya pada gadis itu hilang serta merta.
“Dan hairan.. siapa pula yang ambil gambar Lia serta hantar kat Wan? Sudah
jelas ada orang yang mahu musnahkan hubungan kita?” Kata Alia pula.
“Ya! Mungkin Harun juga?” Alia mengganguk tanda setuju dengan kata-kata
Ikwan itu. mereka berpandangan. Saling tersenyum. Mereka tidak peduli
apakah motif Harun, yang paling penting kini mereka sudah kembali bersama.
“Maaf ya?” tanya Ikwan sekali lagi.
“Lia juga..” Balas Alia.
“Sia-sia saja Wan bencikan Lia.. tahu-tahu cuma salah faham..” Kata Ikwan
sambil ketawa kecil. Teringat akan sikapnya beberapa minggu yang lepas.
Seluruh isi rumah menjadi tempatnya melepaskan marah. Berbakul-bakul
leteran ibu kepadanya kerana sikapnya menjadi garang tidak tentu pasal.
Anak-anak buahnya di pejabat pun tidak berani curi tulang, takut pada Ikwan
yang tidak semena-mena bertukar angin. Bos yang dulunya peramah dan mesra
menjadi bengis tak menentu. Pantang silap sikit adalah yang kena marah!
Semuanya pasal gambar yang diterimanya itu. Helina pun selalu merungut
dengan perangainya yang selalu berubah angin. Hendak berlawak jenaka pun
susah. Kalau senyum pun bagaikan terpaksa!
“BenarkahWan bencikan Lia?” Tanya Alia menduga.
“ Ya! Benci sangat.. benci tapi rindu..ha ha ha.. merana betul Wan menanggung
rindu tidak jumpa Lia beberapa minggu. Kadang-kadang Wan harap Lia akan
call atau SMS Wan.. tapi bila buka handset.. sunyi saja..” luah Ikwan tentang
perasaannya ketika musim dingin hubungan mereka.
“Lia juga.. nak call Wan.. tapi teringat Helina mungkin sedang bersama Wan..”
Ujar Alia pula, mereka tertawa bersama. Rupanya mereka sama saja, cemburu
buta!
“Zarul cakap Lia tak sihat? Minta hantar balik rumah..” tanya Ikwan dengan
muka bimbang. Muka Alia memang pucat saja tadi.
“Emn..” Alia tersenyum nipis. Kini dia kelihatan berseri-seri.
“Lia sakit apa?” tanya Ikwan lagi sambil sentuh dahi Alia.
“Sakit hati..” jawabnya dengan menahan senyum.
“Oh.. rupanya! Sakit hati kenapa boleh senyum?” ujar Ikwan setelah
mendapat tahu. Dia turut senyum meleret. Alia hanya menolak bahu Ikwan
dengan manja. Ikwan tertawa melihat riaksi Alia.
“Lia..” Panggil Ikwan dengan suara romantis. Alia mendongak ke arah wajah
lelaki yang dicintainya itu. Rindu benar hatinya pada Ikwan. Mujurlah
semuanya sudah berubah baik.
“Emn..”
“Jom kita kawin?”
Mata Alia terbelalak. Dia menatap wajah Ikwan minta kepastian akan lamaran
yang tiba-tiba itu.
“Kenapa? Tak sudi?”Tanya Ikwan lagi.
“Wan lamar Lia?” Angguk.
“Bunga? Cincin? Takkan nak lamar macam ni saja?” usik Alia dengan senyum
nakal. Ikwan ketawa besar. Dia menarik Alia masuk ke dalam keretanya. Alia
kehairanan.
“Jom kita pergi beli bunga dan cincin!!” balas Ikwan sambil masuk ke dalam
perut kereta. Kereta meluncur laju menuju ke bandaraya.
“Mulai saat ini.. kalau ada apa-apa masalah, kita mesti bincang! Jangan simpan
sendiri dalam hati.. o.k?” bisik Ikwan sambil memimpin tangan Alia menuju ke
kedai bunga terhampir. Alia mengangguk. Wajahnya penuh dengan senyuman
bahagia. Dugaan seperti itu mungkin datang lagi. Tapi kalau saling cinta
menyintai, kalau saling kasih mengasihi dan kalau saling mempercayai antara
satu sama lain, apa pun dugaannya pasti dapat diredah bersama. Ternyata
dugaan cinta itu berlalu juga!